Friday, September 1, 2006

Daffodil dari Darfur ?







Walau pun tiada bunga orkid atau daffodil yang saya temui semasa saya berpetualang di Sudan untuk menjalankan tugas syarikat tidak berapa lama dahulu, namun demi memenuhi tema blog orkid dan taman ini, saya beri judul yang menimbulkan tanda tanya ini.

Oleh kerana tugas saya pada ketika itu sedikit banyak melibatkan agensi UN untuk menghantar bantuan makanan ke Wilayah Darfur, Sudan, maka setiap sedikit sebanyak pengalaman itu tetap menjadi ingatan yang mendalam.

Setiap kali saya melihat bunga-bunga orkid dan tumbuhan taman yang menghijau, saya terkenangkan ketandusan sebahagian besar negara Sudan diliputi padang pasir. Tetapi di Wilayah Selatan Sudan, iklim tropika membuatkan tumbuhan tumbuh subur menghijau. Kebanyakan wilayah di sebelah tengah dan utara, iklim padang pasir menjadikan negara terbesar benua Afrika itu kering kontang.

Setiap kali saya melihat kebun, pepohon hijau, terutama orkid saya terkenangkan padang pasir Sudan yang kering tandus.

Tetapi untuk rekod gambar bunga kertas berwarna pink itu bukan bunga di belakang rumah di kampung di Malaysia, tetapi di taman di sebuah R & R, di tepi lebuhraya dari Khartoum ke El-Obeid, Sudan!

Unta dan keldai di Port Sudan




Unta menjadi salah satu pengangkutan penting di Sudan.

Oleh kerana negara yang luas dan mereka baru sahaja mula membangun, maka jalan raya masih lagi belum menghubungkan semua penempatan kampung-kampung di sekitar padang pasir.

Unta sejenis binatang padang pasir yang mampu berjalan jauh di padang pasir yang tandus dan panas itu.

Keldai pula menjadi pengangkutan penting bagi penduduk yang miskin dan tidak mampu memilki unta atau kereta.

Salah satu kegunaan keldai ialah mengangkut air dari perigi dan sumber-sumber air yang lain, untuk dihantar ke rumah-rumah, kedai-kedai atau masjid-masjid.

Makan daging kambing di El-Obaied




Semasa di Obaied, wilayah Kordofan Utara, Sudan saya sempat makan tengah hari di gerai makan yang menyediakan daging kambing bakar.

Kelihatan daging kambing biri-biri (karuf) dan unta bergantungan untuk dipilih sebelum dibakar atau di goreng sebagai hidangan makan tengah hari.

Kami memilih sekilo daging kambing biri-biri untuk dibakar.

Daging yang siap dimasak dihidangkan bersama-sama bawang mentah dan limau nipis yang siap dipotong.

Enak juga daging kambing biri-biri di makan di bawah naungan atap daun-daun dan jerami.

Suasana yang dipenuhi asap dari bakaran daging itu serta keadaan panas di di situ membuatkan kami berpeluh dan semakin sedap rasanya hidangan itu.

Thursday, August 31, 2006

Sekiranya pihak barat menguasai Selatan Sudan dan Darfur




Telah banyak kali di dalam posting blog saya atau di dalam banyak tulisan saya, saya menegaskan Sudan adalah sebuah bumi bertuah anugerah Allah kepada umat Islam.

Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika. Ia kaya dengan hasil bumi, seperti minyak petroleum dan ada juga diberitakan Uranium juga terdapat di kawasan Darfur.

Sekiranya pihak barat seperti Amerika atau sekutu-sekutunya seperti EU dapat menguasainya Darfur ia akan dapat memenuhi keperluan tenaga bagi menggerakkan industri dan ketenteraan mereka untuk dua atau tiga dekad lagi.

Juga harus diingat sebahagian besar keperluan air Sudan dan Mesir datadng dari Sungai Nil yang berpunca dari Selatan Sudan. Maka sekiranya mereka menguasai selatan Sudan ini bererti sumber air bagi Sudan dan Mesir akan di bawah kawalan pihak barat.

Ini akan membawa implikasi yang berat bagi Sudan dan Mesir.

Namun kita berharap semangat rakyat Sudan tidak pernah pudar di dalam menentang segala bentuk penjajahan dan kezaliman. Semoga mereka tidak lupa kekuatan mereka sejak dari nenek moyang meraka lagi.

Semoga semangat perjuangan mereka masih seperti waktu di bawah pimpinan Al-Mahdi yang mengelahkan tentera British pimpinan General Gordon di Khartoum pada tahun 1885.

Sudan Bumi Bertuah - Warisan Umat Islam




Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan mukabumi.

Ia juga kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah. Sumber terpenting ketika ini ialah petroleum. Simpanan emas hitam itu dipercayai berpotensi mengatasi simpanan Arab Saudi di dalam masa yang terdekat.

Sumber petroleum dikatakan banyak terkumpul di Selatan Sudan dan di Barat Sudan, yang lebih dikenali sebagai Darfur.

Pemberontakan puak-puak selatan Sudan (majoritinya kristian dan berfahaman animisme) hampir berakhir apabila berlaku perjanjian gencatan senjata dan pengkongisan hasil petroleum.

Namun masalah pemberontakan puak-puak kaum Afrika di Darfur masih belum berakhir, walaupun beberapa puak-puak ini telah menandatangani gencatan senjata dengan kerajaan Sudan. Sayugia dingati pemberontak di Darfur adalah terdiri dari kalangan puak yang beragama Islam.

Kita berbangga Khartoum menjadi tempat persidangan perbincangan damai antara pihak Union of Islamic Courts (UIC) Somalia dan kerajaan sementara TFG Somalia yang berpusat di Baidoa. Sesuatu yang baik kerana ia melibatkan inisiatif dua pihak yang bertelingkah di Somalia.

Namun kenapa pihak Khartoum masih belum berjaya mengajak puak-puak pemberontak Darfur ke meja rundingan?

Memanglah pihak barat yang diterajui oleh Amerika, melalui proksi-proksinya seperti UN dan AU akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke Darfur, kerana ingin menguasai sumber-sumber kekayaan di barat Sudan itu.

Memanglah susah untuk mencari formula damai yang boleh diterima oleh semua pihak, kerana sudah tentu ia akan melibatkan kompromi di kedua-dua pihak.

Namun usaha damai hampir mustahil dicapai di dalam keadaan peperangan yang berterusan. Pihak kerajaan Sudan harus memberhentikan serangan terhadap kaum Darfur, serta puak militia Janjaweed harus dikekang dari melakukan serangan terhadap orang awam di Darfur.

Selagi belum dijumpai formula damai yang berkekalan dan boleh diterima semua pihak, selagi itulah pihak barat akan senang memasukan jarum mereka dan politik adu-domba mereka akan terus dipergunakan untuk menguasai sumber kekayaan bumi bertuah Sudan ini.

Khartoum Pesat Membangun




Semasa berada di Khartoum, saya dapat lihat kotaraya itu begitu pesat membangun.

Beberapa buah hotel sedang rancak dibina di tepi Sg Nil.

Begitu juga beberapa jambatan merentangi Sg Nil yang akan menghubungkan Khartoum dengan pekan sekitanya.

Begitu juga sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baru juga sedang dibina.

Thursday, August 24, 2006

Salad dan Karoof di Khartoum




Kawan-kawan yang bertugas di Khartoum telah membawa saya makan di sebuah restoran terkenal di bandar itu iaitu Amwaaj.

Saya dapati makanan yang dihidang di situ lazat dan menyelerakan. Tidak terbayang terdapat makanan semewah itu di Sudan sedangkan di wilayah Darfur, terdapat rakyatnya yang tidak cukup makan.

Namun saya berpendapat memang itulah realiti yang terdapat di mana-mana pun di dunia ini.