Monday, June 23, 2008
Semalam di Sudan
SEMALAM DI SUDAN
Demikian jadinya pertemuan ini
Aku terdampar di pinggiran gurun Obaied
Menjadi tetamu satu petang di Wadi Benjadid
Hanya seketika mengecapi kemanisan mangga
Yang harum di dusunmu wahai Benjadid
Pada ketika yang lain pula
Aku menjadi musafir di lebuhraya
Menuju ke Khartoum menjalar di sepanjang
Padang pasir ini
Cuma sempat singgah di Kosti
Untuk menikmati keenakan ikan dari Sungai Nil
Dan memandang bunga-bunga yang indahmu
Walaupun sesekali aku terpaksa
Merempuh ribut pasir yang memedihkan mata
Bila tiba di plaza tol Jabal Auliya
Aku tahu aku akan tiba ke Khartoum
Bertemu dengan wargamu yang ramah mesra
Aku disambut dengan senyuman lebar
Walau aku tahu kau serba kekurangan
Pernah sekelumit waktu aku berhenti bermalam
Di pelabuhan Port Sudan
Dapat juga aku makan ikan dan lobstermu
Duhai Port Sudan
Aku gembira wahai Port Sudan
Walau aku terpaksa merasai
Kepanasan bahangmu wahai Sudan
Aku bahagia bersamamu
Biarpun buat seketika
Kini aku telah pergi meninggalkanmu
Namun aku tahu aku akan kembali lagi
Seperti kata-kata hikmat orang tua2 Sudan
“Sekali kau telah meminum air dari Sungai Nil,
Kau pasti akan datang kembali ke Sudan…”
Selamat tinggal Sudan, selamat tinggal
Di lain masa kita bertemu lagi.
Alang Bidara. 6 Jun 2006
Tuesday, June 17, 2008
Sudan Hari Ini VS Malaysia 40 tahun lalu
Walaupun Sudan sebuah negara yang baru hendak membangun seperti Sudan dan kehidupan yang di dalam keadaan yang amat sederhana dari segi keselesaan dunia moden, namun kanak-kanak Sudan tetap riang dan gembira semasa bermain bersama-sama mereka.
Semasa melihat kanak-kanak Sudan bermain-main teringat saya ketika saya masih kecil di kampung tahun enam puluhan dulu.
Keadaan negara kita di sekitar 40 tahun yang lalu pun boleh dikatakan lebih baik jika dibandingkan dengan apa yang saya lihat di Sudan.
Monday, June 16, 2008
Lebuhraya Khartoum-Obeid - lori lebih muatan?
Semasa dalam perjalanan dari Khartoum ke Obaied atau sebaliknya, kami berkali-kali melihat keadaan yang mencemaskan apabila kenderaan yang dimuat secara belebihan, nyaris-nyaris kemalangan.
Apa tidaknya dengan muatan yang begitu banyak, saat-saat cemas itu selalu saja dialami oleh sesiapa sahaja yang berdepan dengan situasi begini.
Sunday, June 15, 2008
Sungai Nil dan Sudan
Oleh kerana Sudan sebuah negera padang pasir, Sungai Nil merupakan sumber air yang terpenting bagi Sudan.
Khartoum di bahagian yang terletak tepi Sungai Nil menjadi menjadi subur menghijau bila air di gunakan secara bijak.
Malah ada pepatah orang tua-tua Sudan mengatakan: "Sekali anda meminum air Sungai Nil, nescaya suatu hari nanti akan kembali ke Sudan juga..."
Sudan - sebutir permata benua Afrika
Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan mukabumi.
Ia juga kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah. Sumber terpenting ketika ini ialah petroleum. Simpanan emas hitam itu dipercayai berpotensi mengatasi simpanan Arab Saudi di dalam masa yang terdekat.
Sumber petroleum dikatakan banyak terkumpul di Selatan Sudan dan di Barat Sudan, yang lebih dikenali sebagai Darfur.
Pemberontakan puak-puak selatan Sudan (majoritinya kristian dan berfahaman animisme) hampir berakhir apabila berlaku perjanjian gencatan senjata dan pengkongisan hasil petroleum.
Namun masalah pemberontakan puak-puak kaum Afrika di Darfur masih belum berakhir, walaupun beberapa puak-puak ini telah menandatangani gencatan senjata dengan kerajaan Sudan. Sayugia dingati pemberontak di Darfur adalah terdiri dari kalangan puak yang beragama Islam.
Kita berbangga Khartoum menjadi tempat persidangan perbincangan damai antara pihak Union of Islamic Courts (UIC) Somalia dan kerajaan sementara TFG Somalia yang berpusat di Baidoa. Sesuatu yang baik kerana ia melibatkan inisiatif dua pihak yang bertelingkah di Somalia.
Namun kenapa pihak Khartoum masih belum berjaya mengajak puak-puak pemberontak Darfur ke meja rundingan?
Memanglah pihak barat yang diterajui oleh Amerika, melalui proksi-proksinya seperti UN dan AU akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke Darfur, kerana ingin menguasai sumber-sumber kekayaan di barat Sudan itu.
Memanglah susah untuk mencari formula damai yang boleh diterima oleh semua pihak, kerana sudah tentu ia akan melibatkan kompromi di kedua-dua pihak.
Namun usaha damai hampir mustahil dicapai di dalam keadaan peperangan yang berterusan. Pihak kerajaan Sudan harus memberhentikan serangan terhadap kaum Darfur, serta puak militia Janjaweed harus dikekang dari melakukan serangan terhadap orang awam di Darfur.
Selagi belum dijumpai formula damai yang berkekalan dan boleh diterima semua pihak, selagi itulah pihak barat akan senang memasukan jarum mereka dan politik adu-domba mereka akan terus dipergunakan untuk menguasai sumber kekayaan bumi bertuah Sudan ini.
Rindu semalam rentung di Sudan
Semalam merdu sekali
gemersik irama padang pasir
sayup-sayup memanggil ku
menggamit aku kembali
betapa indah
Begitu ku rindu kehangatanmu
aduhai Sudan bumi bertuah
permata bernilai benua Afrika
ribut pasirmu menyesakkan dada
namun warna senja Sahara mu
indah menawan
Sungguh aku akan kembali
nantikanlah kehadiranku
ingin ku teguk kembali
air Sungai Nil
Sungguh akan ku ziarahi
maqam Al-Mahdi
wahai Khartoum dan Omdurman
untuk semarakkan semangat Islam
demi menilai pengorbanan
dan harga darah para syuhadaa.
Subscribe to:
Posts (Atom)