Thursday, August 31, 2006

Sekiranya pihak barat menguasai Selatan Sudan dan Darfur




Telah banyak kali di dalam posting blog saya atau di dalam banyak tulisan saya, saya menegaskan Sudan adalah sebuah bumi bertuah anugerah Allah kepada umat Islam.

Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika. Ia kaya dengan hasil bumi, seperti minyak petroleum dan ada juga diberitakan Uranium juga terdapat di kawasan Darfur.

Sekiranya pihak barat seperti Amerika atau sekutu-sekutunya seperti EU dapat menguasainya Darfur ia akan dapat memenuhi keperluan tenaga bagi menggerakkan industri dan ketenteraan mereka untuk dua atau tiga dekad lagi.

Juga harus diingat sebahagian besar keperluan air Sudan dan Mesir datadng dari Sungai Nil yang berpunca dari Selatan Sudan. Maka sekiranya mereka menguasai selatan Sudan ini bererti sumber air bagi Sudan dan Mesir akan di bawah kawalan pihak barat.

Ini akan membawa implikasi yang berat bagi Sudan dan Mesir.

Namun kita berharap semangat rakyat Sudan tidak pernah pudar di dalam menentang segala bentuk penjajahan dan kezaliman. Semoga mereka tidak lupa kekuatan mereka sejak dari nenek moyang meraka lagi.

Semoga semangat perjuangan mereka masih seperti waktu di bawah pimpinan Al-Mahdi yang mengelahkan tentera British pimpinan General Gordon di Khartoum pada tahun 1885.

Sudan Bumi Bertuah - Warisan Umat Islam




Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan mukabumi.

Ia juga kaya dengan hasil bumi yang dianugerahkan oleh Allah. Sumber terpenting ketika ini ialah petroleum. Simpanan emas hitam itu dipercayai berpotensi mengatasi simpanan Arab Saudi di dalam masa yang terdekat.

Sumber petroleum dikatakan banyak terkumpul di Selatan Sudan dan di Barat Sudan, yang lebih dikenali sebagai Darfur.

Pemberontakan puak-puak selatan Sudan (majoritinya kristian dan berfahaman animisme) hampir berakhir apabila berlaku perjanjian gencatan senjata dan pengkongisan hasil petroleum.

Namun masalah pemberontakan puak-puak kaum Afrika di Darfur masih belum berakhir, walaupun beberapa puak-puak ini telah menandatangani gencatan senjata dengan kerajaan Sudan. Sayugia dingati pemberontak di Darfur adalah terdiri dari kalangan puak yang beragama Islam.

Kita berbangga Khartoum menjadi tempat persidangan perbincangan damai antara pihak Union of Islamic Courts (UIC) Somalia dan kerajaan sementara TFG Somalia yang berpusat di Baidoa. Sesuatu yang baik kerana ia melibatkan inisiatif dua pihak yang bertelingkah di Somalia.

Namun kenapa pihak Khartoum masih belum berjaya mengajak puak-puak pemberontak Darfur ke meja rundingan?

Memanglah pihak barat yang diterajui oleh Amerika, melalui proksi-proksinya seperti UN dan AU akan sentiasa mencari ruang untuk masuk ke Darfur, kerana ingin menguasai sumber-sumber kekayaan di barat Sudan itu.

Memanglah susah untuk mencari formula damai yang boleh diterima oleh semua pihak, kerana sudah tentu ia akan melibatkan kompromi di kedua-dua pihak.

Namun usaha damai hampir mustahil dicapai di dalam keadaan peperangan yang berterusan. Pihak kerajaan Sudan harus memberhentikan serangan terhadap kaum Darfur, serta puak militia Janjaweed harus dikekang dari melakukan serangan terhadap orang awam di Darfur.

Selagi belum dijumpai formula damai yang berkekalan dan boleh diterima semua pihak, selagi itulah pihak barat akan senang memasukan jarum mereka dan politik adu-domba mereka akan terus dipergunakan untuk menguasai sumber kekayaan bumi bertuah Sudan ini.

Khartoum Pesat Membangun




Semasa berada di Khartoum, saya dapat lihat kotaraya itu begitu pesat membangun.

Beberapa buah hotel sedang rancak dibina di tepi Sg Nil.

Begitu juga beberapa jambatan merentangi Sg Nil yang akan menghubungkan Khartoum dengan pekan sekitanya.

Begitu juga sebuah lapangan terbang antarabangsa yang baru juga sedang dibina.

Thursday, August 24, 2006

Salad dan Karoof di Khartoum




Kawan-kawan yang bertugas di Khartoum telah membawa saya makan di sebuah restoran terkenal di bandar itu iaitu Amwaaj.

Saya dapati makanan yang dihidang di situ lazat dan menyelerakan. Tidak terbayang terdapat makanan semewah itu di Sudan sedangkan di wilayah Darfur, terdapat rakyatnya yang tidak cukup makan.

Namun saya berpendapat memang itulah realiti yang terdapat di mana-mana pun di dunia ini.

Penginapan Di Sudan




Sesiapa yang berkunjung ke Sudan, dia akan dapati hotel di sana agak sederhana sekali.

Kalau nak banding hotel 3 bintang di Malaysia kira dah macam 5 bintang di sana.

Hotel Kurdufan ni di Obaied, dan banyak bilik di hotel ini tidak dilengkapi bilik air di dalam bilik hotel, tetapi di bahagian lain. Leceh la bila nak mandi.

Tuesday, August 22, 2006

Tangki Air di Khartoum




Sudan adalah sebuah negara padang pasir dan air merupakan satu komoditi yang amat dijaga dan disimpan dengan rapi.

Semasa 'meronda' bandaraya Khartoum saya tertarik melihat tangki air, yang diperbuat dari plastik atau fiber glass dijual secara 'longgok' di tepi jalan.

Longgok macam jual durian pula !

Jambu Batu dan Bunga Kertas di Khartoum




Pada suatu hari Jumaat kami dijemput bersarapan di rumah seorang pegawai kanan syarikat kami di Sudan.

Tempat itu tidak jauh dari pejabat di Al-Amarat, lima minit saja dengan kenderaan dah pun sampai kami ke sana.

Kami dijamu dengan roti kebab, daging kambing dan buah-buahan. Memang sedap dan kami makan dengan gembira.

Apa yang menarik perhatian saya ialah beberapa tumbuh-tumbuhan di sekitar rumah beliau. Ada pokok jambu batu dan ada juga pokok bunga kertas.

Sunday, August 20, 2006

Perhentian di lebuhraya




Di sepanjang perjalanan antara Khartoum ke Obaied, ada banyak tempat-tempat perhentian R & R.

Di perhentian sebegini saya melihat ramai sekali penjual makanan dan snek. Malah ada juga beberapa barangan kraftangan.

Pemandangan begini sungguh menarik dan kadang-kadang mencuit hati membuat saya ketawa sendirian melihat telatah mereka untuk manarik pelanggan.

Tidak jauh beza dengan penjual-penjual di R & R di negara kita...

Pelbagai pengangkutan di lebuhraya




Sudan adalah negara yang terbesar di benua Afrika dari segi keluasan muka bumi.

Kenderaan yang digunakan bermacam-macam. Kapalterbang selalunya digunakan. Tetapi bagi rakyat biasa kenderaan darat seperti lori, bas dan kenderaan pacuan empat roda menjadi pengangkutan lazim bagi mereka.

Tidak mengejutkankita akan selalu melihat barang-barang atau penumpang yang menaiki kenderaan dengan cara yang agak kurang selamat.

Saya selalu bimbang apabila terlihat keadaan yang sebegini.

Ikan Masak Asam Pedas di Kg Ismailiyah




Semasa di Obaied saya tinggal di sebuah apartment di kawasan berhampiran masjid Ismailiyah, maka kampung itu dikenali sebagai Kg Ismailiyah.

Selalu sahaja kami masak asam pedas ikan yang dibeli di Kosti. Ketika makan nasi dengan lauk ikan ini saya sentiasa saja teringat akan masak asam pedas di Melaka.

Sebelum berlepas balik ke Khartoum sempat juga saya bergambar dengan dua orang kawan dari Malaysia yang bertugas di Obaied, bersama-sama dengan seorang penduduk kampung di situ.

Suatu kenangan yang tidak dapat saya lupakan.

Thursday, August 17, 2006

Restoran Langkawi di Khartoum




Salah satu aktiviti yang menggembirakan saya ialah apabila keluar makan bersama-sama dengan kawan-kawan Malaysia yang bertugas di Sudan.

Antara tempat yang kami suka ialah sebuah restoran yang diusahakan oleh seorang usahawan Malaysia di kotaraya Khartoum. Yang menambah keseronokan kami ialah namanya pun nama tempat di Malaysia, iaitu Langkawi.

Pada suatu hari kami mangajak pemandu Land Cruiser kami untuk makan bersama kami. Dia seorang warga Sudan dan dia seorang yang suka mencuba makanan yang berbeza. Di dalam gambar ini kelihatan dia sedang mencuba roti canai.

Wednesday, August 16, 2006

Laut tenang di Port Sudan (2)



Port Sudan adalah satu-satunya pelabuhan pintu masuk bagi kapal-kapal perdagangan antarabangsa melalui Laut Merah.

Kemudahan memunggah kargo masih terhad dan menyebabkan kesesakan kapal-kapal yang menunggu untuk berlabuh di beberapa dermaganya.

Sempat juga gambar ini dirakamkan oleh teman saya yang sama-sama berkunjung ke Port

Tuesday, August 15, 2006

Satu lorong di Khartoum




Khartoum ialah ibu negara Sudan.

Di negara maju seperti Jepun atau di negara membangun seperti Malaysia, selalunya ibu negara menikmati segala kemajuan dan pembangunan. Jalanraya tentu kebanyakannya diturap dengan batu dan tar.

Namun di Khartoum, saya lihat jalan-jalan besar saja yang berturap, manakala jalan-jalan biasa masih lagi sama ada bertanah merah atau berpasir. Oleh kerana iklim panas di Sudan membuatkan Khartoum sebuah bandar yang kering berdebu.

Apartmen yang saya menginap yang dikira kawasan elit (ramai kakitangan UN tinggal di situ) itu pun jalan di depannya masih bertanah merah, berpasir dan berdebu.

Satu lorong di Khartoum




Khartoum ialah ibu negara Sudan.

Di negara maju seperti Jepun atau di negara membangun seperti Malaysia, selalunya ibu negara menikmati segala kemajuan dan pembangunan. Jalanraya tentu kebanyakannya diturap dengan batu dan tar.

Namun di Khartoum, saya lihat jalan-jalan besar saja yang berturap, manakala jalan-jalan biasa masih lagi sama ada bertanah merah atau berpasir. Oleh kerana iklim panas di Sudan membuatkan Khartoum sebuah bandar yang kering berdebu.

Apartmen yang saya menginap yang dikira kawasan elit (ramai kakitangan UN tinggal di situ) itu pun jalan di depannya masih bertanah merah, berpasir dan berdebu.

Monday, August 14, 2006

Masjid Wali di Sudan




Di dalam perjalanan dari Khartoum ke Obaied, selepas melalui pekan Jabal Awliya, kami terus merentasi padang pasir Sudan yang tandus.

Perjalanan menggunakan Toyota Land Cruiser yang memakan masa lebih 8 jam itu saya tidak rasakan bosan, kerana saya sibuk mengambil gambar tempat-tempat, pokok-pokok dan bangunan-bangunan yang menarik.

Di antara bangunan yang menarik ialah masjid yang mempunyai 2 qubah yang berbeza saiznya. Bila ditanya kepada Abdullah, jurutera komputer partner dari Khartoum itu menerangkan masjid yang qubahnya berbentuk begitu ialah masjid wali. Ada kubur tok guru yang orang tempatan iktiraf dia sebagai wali.

Rupanya masyarakat Sudan amat memandang tinggi kepada tok-tok guru dan pak-pak lebai dan golongan ini mendapat tempat di hati rakyat Sudan.

Sunday, August 13, 2006

Pasar pagi El-Obaied




Hari Jumaat ialah hari kelepasan am di Sudan. Macam di Kelantan dan Trengganu juga lah.

Pada suatu pagi Jumaat kami telah ke pasar pagi di pekan Obaied. Walaupun kawasan pasar hanya di sebuah kawasan tanah lapang yang berpasir, namun berbagai barangan yang dijual: dari air minuman jus buah-buahan sehinggalah kepada katil besi!

Seperti pasar-pasar rakyat di Malaysia juga, bila membeli-belah kita mesti pandai tawar-menawar bagi mendapatkan harga yang paling rendah, minta diskaun yang semaksima mungkin.

Walaupun di dalam keadaan panas terik menjelang lewat pagi tetapi para peniaga masih tekun melayan pelanggan-pelanggan yang berkunjung ke gerai-gerai mereka.

Bertanya khabar orang Sudan




Semasa berada di cawangan Obaied syarikat tempat tugasan di Sudan, saya sempat bertemu pemandu-pemandu lori syarikat untuk bertanya khabar darihal mereka.

Walaupun di dalam kemampuan kominikasi yang amat terbatas, kerana kami tidak fasih bahasa Arab dan mereka tidak memahami bahasa Inggeris, namun kemesraan terpancar dari wajah-wajah mereka.

Saya percaya salah satu sebab kami dapat bermesra ialah kerana semangat persaudaraan Islam yang sudah tertanam di dalam jiwa-jiwa orang Sudan.

Walaupun di dalam serba kekurangan dan kemunduran negara Sudan tetapi mereka tetap ceria dan mesra, apabila mengetahui kami juga beragama Islam.

Malah mereka juga begitu memandang tinggi kepada Malaysia, sebagai negera Islam yang agak harum namanya di kalangan orang-orang Sudan.

Saturday, August 12, 2006

Benjadit Sebuah Kampung Di Obaied




Saya melawat Benjadit, sebuah kampung di pinggiran Obaied. Perjalanan mengambil masa 20 minit dari tempat tinggal kami di pekan Obaied.

Kampung ini merupakan sebuah kawasan wadi yang subur, jadi pohon-pohon banyak tumbuh menghijau. Antara pokok yang banyak tumbuh di Benjadid ialah mangga.

Semasa kami sampai di kampung tersebut kami dikerumuni oleh para remaja kampung. Semasa bergambar, mereka tidak segan-silu dan begitu mesra dengan kami.

Sempat juga kami menikmati buah mangga manis apabila seorang tuan punya kebun di situ memberikan kami buah mangga.

Walaupun agak terbatas dari segi komunikasi kerana mereka tidak memahami bahasa Inggeris, dan kami pula tidak fasih bahasa Arab, tetapi kami rasakan persaudaraan Islam memang wujud dan kebaikan orang-orang Sudan yang memuliakan tetamu, maka hati kami begitu gembira.

Sehingga kami balik pun, saya masih merasakan lambaian Benjadid berserta kemanisan mangga dan kemesraan penduduknya.

Friday, August 11, 2006

Melihat Unta di Obaied




Sempat juga saya melihat unta di Obaied.

Waktu itu ketika waktu rehat makan tengah hari. Kami menaiki Toyota Land Cruiser dan kawasan pasar unta itu terletak lima minit perjalanan dari pejabat cawangan syarikat kami di Baied.

Rupanya unta dijual dengan begitu banyak sekali di pasar itu. Kaldai dan kambing biri-biri pun ada juga.

Bagi mengelakkan unta ini lari, tuannya mengikat kaki unta dibahagian lutut. Kakinya dilipat di lipatan lutut dan diikat dengan tali. Maka untu-unta itu tidak dapat bangun, sebaliknay terpaksa duduk di situ sehingga ikatan itu dibuka.

Pokok Tabaldi di Obaied





Semasa di Obaied, wilayah Kordofan Utara di bumi bertuah Sudan saya sempat mengambil gambar pokok Tabaldi.

Kami diberitahu oleh penduduk tempatan bahawa pokok Tabaldi hidup begitu lama, ada yang beratus-ratus tahun lamanya. Daunnya gugur bila tiba musim panas.

Hanya ketika musim hujan di sekitar bulan Ogos daun pokok Tabaldi mula tumbuh dan berbunga. Selepas itu ia mengeluarkan buah. Jus buah Tabaldi enak rasanya. tetapi semasa saya berada di sana saya tidak sempat menikmatinya kerana ketika itu pokok itu belum berbuah.

Untuk makluman para pembaca budiman saya bergambar bersama-sama teman sekerja di sana bagi menunjukkan betapa besarnya batang pokok Tabaldi ini.

Thursday, August 10, 2006

Ribut Pasir di El-Obaied




Ketika berada di Obaied, cuaca nya panas membahang di akhir bulan April yang lalu. Sempat juga saya bersiar-siar melihat keadaan sekeliling pekan di utara Wilayah Kordofan di bumi bertuah Sudan itu.

Sekembalinya saya ke tanah air, kawan saya sempat merakamkan peristiwa ribut pasir yang melanda Obaied.

alang bidara - 10/8/2006