Friday, September 1, 2006

Daffodil dari Darfur ?







Walau pun tiada bunga orkid atau daffodil yang saya temui semasa saya berpetualang di Sudan untuk menjalankan tugas syarikat tidak berapa lama dahulu, namun demi memenuhi tema blog orkid dan taman ini, saya beri judul yang menimbulkan tanda tanya ini.

Oleh kerana tugas saya pada ketika itu sedikit banyak melibatkan agensi UN untuk menghantar bantuan makanan ke Wilayah Darfur, Sudan, maka setiap sedikit sebanyak pengalaman itu tetap menjadi ingatan yang mendalam.

Setiap kali saya melihat bunga-bunga orkid dan tumbuhan taman yang menghijau, saya terkenangkan ketandusan sebahagian besar negara Sudan diliputi padang pasir. Tetapi di Wilayah Selatan Sudan, iklim tropika membuatkan tumbuhan tumbuh subur menghijau. Kebanyakan wilayah di sebelah tengah dan utara, iklim padang pasir menjadikan negara terbesar benua Afrika itu kering kontang.

Setiap kali saya melihat kebun, pepohon hijau, terutama orkid saya terkenangkan padang pasir Sudan yang kering tandus.

Tetapi untuk rekod gambar bunga kertas berwarna pink itu bukan bunga di belakang rumah di kampung di Malaysia, tetapi di taman di sebuah R & R, di tepi lebuhraya dari Khartoum ke El-Obeid, Sudan!

Unta dan keldai di Port Sudan




Unta menjadi salah satu pengangkutan penting di Sudan.

Oleh kerana negara yang luas dan mereka baru sahaja mula membangun, maka jalan raya masih lagi belum menghubungkan semua penempatan kampung-kampung di sekitar padang pasir.

Unta sejenis binatang padang pasir yang mampu berjalan jauh di padang pasir yang tandus dan panas itu.

Keldai pula menjadi pengangkutan penting bagi penduduk yang miskin dan tidak mampu memilki unta atau kereta.

Salah satu kegunaan keldai ialah mengangkut air dari perigi dan sumber-sumber air yang lain, untuk dihantar ke rumah-rumah, kedai-kedai atau masjid-masjid.

Makan daging kambing di El-Obaied




Semasa di Obaied, wilayah Kordofan Utara, Sudan saya sempat makan tengah hari di gerai makan yang menyediakan daging kambing bakar.

Kelihatan daging kambing biri-biri (karuf) dan unta bergantungan untuk dipilih sebelum dibakar atau di goreng sebagai hidangan makan tengah hari.

Kami memilih sekilo daging kambing biri-biri untuk dibakar.

Daging yang siap dimasak dihidangkan bersama-sama bawang mentah dan limau nipis yang siap dipotong.

Enak juga daging kambing biri-biri di makan di bawah naungan atap daun-daun dan jerami.

Suasana yang dipenuhi asap dari bakaran daging itu serta keadaan panas di di situ membuatkan kami berpeluh dan semakin sedap rasanya hidangan itu.